Tuesday, September 8, 2009
Tingkahlaku nonverbal
Tingkahlaku nonverbal bermaksud segala tingkah laku yang berasaskan kepada pergerakan badan termasuklah konteks mata , gaya bahasa badan dan kualiti. Kesemua komponen tersebut adalah penting kerana ia akan menimbulkan perasaan selesa di antara kaunselor dan klien.Tingkah laku nonverbal dapat juga dilihat melalui memek muka, gaya duduk dan seumpamanya.Ia amat berguna kerana dapat membantu kaunselor untuk lebih memahami klien dan seterusnya membantu klien yang mengalami masalah.
Terdapat beberapa cara bersesuaian yang boleh digunakan ketika sesi kaunseling dijalankan.Kaunselor perlu mempelajari beberapa skil agar sesi yang dijalankan lebih baik dan bermanfaat kepada klien. Skil pemerhatian memerlukan seseorang kaunselor memerhati diri sendiri dan klien dalam sesi. Antaranya perkara yang perlu diberi perhatian ialah ialah tingkahlaku nonverbal,ekspresi muka dan bahasa badan.
Terdapat banyak kajian dijalankan tentang komunikasi bukan lisan dan kesannya
terhadap proses dan keberkesanan komunikasi. Tanpa berkata apa-apa, seseorang
itu boleh berkomunikasi menerusi reaksi yang dipaparkan pada orang lain. Isyarat bukanlisan pada hakikatnya berlaku tanpa disengajakan. Dari reaksi seseorang dapat dilihat bahawa kebanyakan tindakan dan perasaan seseorang digambarkan pada perlakuan
ketika berkomunikasi. Kajian berhubung komunikasi bukan lisan membuktikan bahawa
65% dari makna interaksi sesama insan datangnya daripada komunikasi bukan lisan.
Definisi komunikasi bukan lisan dikemukakan oleh Wood (2001), Gamble & Gamble(2002), Trenholm & Jensen (1998) dan ramai lagi. Secara umumnya, kesemua bentuk komunikasi yang bertujuan menyampaikan mesej atau maklumbalas tanpa perkataan merupakan komunikasi tanpa lisan. Suara yang sebak bunyinya, nada suara, muka masam, senyuman sinis, cara berpakaian, barang hiasan diri, cara duduk, berdiri isyarat tangan dan jarak seseorang ketika bercakap dengan seseorang yang lain mengukuhkan mesej dalam komunikasi. Komunikasi tanpa lisan menerusi perlakuan, atribut dan objek selain dari perkataan memberikan makna sosial (Seiler & Beall, 2002). Secara ringkasnya, kesemua tindakan menunjukkan mesej yang cuba disampaikan tersebut melalui komunikasi bukan lisan (non-verbal communication)
1. Kinesics
Pergerakan badan dan apa yang dilihat pada wajah menggambarkan seribu makna.
Reaksi yang ditunjukkan memberitahu orang lain pelbagai perkara tentang seseorang.
Ini termasuklah perasaan, emosi dan tujuan seseorang melakukannya. Gerak mata juga merupakan isyarat komunikasi tanpa lisan. Pergerakan dan juga pandangan mata keseorang mempunyai makna-makna tertentu yang mampu ditafsirkan oleh individu-individu yang melihatnya.
2. Penampilan Fizikal
Penampilan fizikal boleh membentuk tanggapan pertama terhadap seseorang individu
yang baru dikenali. Contohnya ketinggian, berat badan, warna kulit dan bentuk badan,
jantina, saiz, warna mata, rambut dan bentuk muka. Seringkali kita membentuk stereotaip terhadap ciri-ciri fizikal. Pada masa yang sama, pemikiran yang stereotaip ini juga seringkali dibentuk oleh budaya dan juga media. Masyarakat cenderung mengambil kira faktor fizikal sebagai faktor utama penampilan diri di samping menilai orang lain. Rupa bentuk fizikal berkait rapat dengan budaya kerana setiap budaya. Setiap budaya membuat inferens yang berbeza terhadap rupa bentuk fizikal. Rupa bentuk yang ideal juga berbeza mengikut budaya.
3. Artifak (Objek)
Artifak boleh menyatakan identiti seseorang sama ada berbentuk gender, stail, situasi
tertentu, keagamaan, semangat patriotik, profesional, personaliti , status dan minat
seseorang. Untuk menggambarkan identiti, seseorang menunjukkannya dari cara berpakaian. Cara kita berpakaian untuk sesuatu majlis dengan sendirinya akan menentukan keseragaman di antara kita dengan khalayak.
4. Haptics (Sentuhan)
Sentuhan merupakan komunikasi bukan lisan yang menyampaikan makna dalam
perhubungan. Walaupun ia merupakan bentuk komunikasi bukan lisan yang dikatakan
primitif, ianya memberikan maksud tertentu. Setiap orang mempunyai tanggapan yang berlainan terhadap sentuhan. Reaksi seseorang juga berbeza apabila disentuh. Sentuhan yang dianggap biasa bagi seseorang mungkin dianggap biadap atau bermotif seksual bagi seseorang yang lain. Sentuhan yang dianggap biasa sekiranya dilakukan dengan ketiadaan orang lain dianggap memalukan apabila dilakukan di khalayak ramai. Dengan kata lain, tanggapan terhadap sentuhan mungkin positif atau negatif.
Sentuhan yang dimaksudkan dalam komunikasi tanpa lisan ialah sentuhan menggunakan
tangan, lengan atau lain-lain bahagian badan terhadap seseorang yang lain. Sentuhan
yang dimaksudkan di sini mungkin berbentuk cubitan, cuitan, genggaman dan pelukan.
Sentuhan itu juga menggambarkan kekuatan, empati atau memahami situasi tertentu.
Namun, setiap orang mempunyai perlakuan menyentuh yang berbeza. Pengkaji komunikasi bukan lisan mengidentifikasi beberapa tujuan sentuhan.
5. Chronemics
Sikap dan keutamaan yang kita berikan kepada jalinan komunikasi dengan individu yang
lain akan ditentukan dengan cara kita menggunakan masa. Ia melibatkan aktiviti yang
seharusnya dilakukan pada masa tertentu. Sama ada seseorang menepati masa juga
mempengaruhi tanggapan seseorang terhadap anda. Penggunaan masa dipengaruhi oleh budaya. Sebagai contoh, jika mengikut “masa Malaysia”, kelewatan sehingga 30 minit mungkin masih tidak akan menimbulkan salah faham namun, jika di Barat, beberapa tafsiran negatif akan dibuat seperti tidak boleh dipercayai atau tidak boleh diharap kerana tidak menepati masa. Sebaiknya anda meminta maaf dan menerangkan mengapa lewat sampai supaya tidak dianggap kurang sopan dalam budaya orang Amerika umpamanya. Kesesuaian masa juga satu faktor yang penting dalam tanggapan yang mempengaruhi komunikasi tanpa lisan.
6. Paralanguage
Paralanguage merupakan komunikasi vokal dan cara anda menuturkan sesuatu perkataan. Ia digunakan bersama-sama pertuturan dengan tujuan mengukuhkan apa yang dipertuturkan. Ciri-ciri paralanguage melibatkan nada suara, kelajuan, ”volume”
dan kualiti. Ini termasuklah bunyi keluhan, ketawa, mengerang, “pause” atau ritma bunyi. Persepsi berkait rapat dengan paralanguage kerana ia melibatkan tanggapan terhadap seseorang sama ada fizikal, personaliti atau penilaian. Suara seseorang berupaya memberitahu orang lain bagaimana menginterpretasi mesej yang ingin disampaikan. Kiu vokal digunakan untuk menyatakan perasaan: bisikan umpamanya menghurai hubungan intim antara dua insan; manakala intonasi yang tinggi menandakan kemarahan. Suara juga mempengaruhi tanggapan seseorang dan kerana itu kiu vocal dikawal untuk mengukuhkan imej. Setiap orang pada lazimnya tahu mengawal suara untuk menyatakan perasaan gembira, sedih, atau marah.
7. Proxemics (Ruang Personal)
Penggunaan ruang memainkan peranan dalam keberkesanan komunikasi. Jarak dan ruang personal dalam komunikasi tanpa lisan terdapat dalam bentuk peribadi atau fizikal sama ada dilihat dari aspek kemesraan, peribadi, jarak sosial dan jarak rasmi mencerminkan tahap hubungan antara seseorang dengan seseorang yang lain. Pada kebiasaannya, setiap individu berusaha mengenal pasti dan memelihara ruang yang dianggap hak miliknya. Oleh itu kita semestinya perlu menghormati ruang orang lain agar tidak menimbulkan pergeseran. Sebarang pergeseran yang berlaku sama ada kecil atau besar akan mengganggu jalinan komunikasi.
8. Senyap
Kadangkala seseorang akan “menyepi diri” atau “diam seribu bahasa”. Isyarat senyap
merupakan komunikasi tanpa lisan. Bertindak senyap kadang kala lebih memberi makna
dari pengucapan biasa. Pasangan yang memahami antara satu sama lain tidak memerlukan kata-kata untuk menyatakan perasaan. Seseorang yang terlalu marah akan menyepi diri dan mungkin menyakitkan hati orang yang melihatnya kerana tidak jelas maksudnya. Apa yang nyata, komunikasi tidak dapat dijalin dengan berkesan sekiranya ini berlaku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ni semua copy and pastekan?mcm pernah bacalah artikel ni
ReplyDelete