Monday, September 28, 2009

cabaran masa kini dan hadapan kebajikan sosial~~

Kebajikan sosial ialah bagaimana bantuan dihulurkan dari segi kewangan, fizikal, emosi dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan untuk meningkatkan lagi tahap kefungsian sosialnya untuk menjalani hidup yang lebih baik. Mengikut Midgley (1997) mendefinisikan kebajikan sebagai satu sistem teratur yang mempunyai pelbagai perkhidmatan sosial yang tujuannya untuk membantu masyarakat meningkatkan kualiti hidup yang lebih sejahtera. Menurut Zastrow pula, kebajikan ialah usaha untuk mengubah dan meningkatkan keadaan sejahtera baik dari segi fizikal, mental dan sosial.

Kebajikan sosial perlulah diambil serius oleh masyarakat sama ada di negara mundur, sedang membangun dan negara maju sekalipun. Di negara mundur contohnya, golongan-golongan yang memerlukan bantuan, miskin, kebuluran, diserang penyakit, ketiadaan tempat tinggal dan kehidupan yang tidak terurus haruslah mendapat bantuan dari keprihatinan kebajikan sosial ini. Ini adalah untuk bersama-sama menangani masalah-masalah yang membelenggu yang membuatkan penderitaan kepada mereka.negara yang sedang membangun pula haruslah sentiasa menjadi prihatin dan mendekatkan diri dengan masyarakat yang memerlukan bantuan ini. Kebajikan pada masa kini contohnya di Malaysia agak mendapat sambutan yang mengalakkan. Terdapat pelbagai institusi dan medium yang menawarkan kebajikan sosial kepada golongan yang memerlukan seperti anak yatim, orang kurang upaya (OKU), golongan bekas banduan dan sebagainya. Untuk negara yang maju pula, kebajikan sosial sedikit tercicir kerana wujudnya zaman yang lebih canggih dan bersaing hebat. Ini sedikit sebanyak menimbulkan sikap persaingan dan berdikari yang membuatkan kebajikan sosial terlepas pandang. Namun demikian, masih terdapat bantuan-bantuan yang disalurkan oleh negara maju untuk membantu mana-mana golongan yang memerlukannya.

Jika dibandingkan dengan kebajikan sosial dahulu,tidak terdapat banyak institusi yang ditubuhkan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan seperti anak yatim, mangsa rogol, rumah perlindungan dan sebagainya kerana mereka masih belum terdedah dan sukar mencari sumber. Namun kini jelas kebajikan sosial mendapat sambutan yang memberangsangkan kerana masyarakat telah sedar bahawa perlunya menwujudkan sikap saling bantu-membantu dan budaya penyayang agar kefungsian sosial dapat ditingkatkan semasa ke semasa. Banyak agensi-agensi telah menawarkan bantuan dan bekerjasama memberi sumber untuk membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik ini.

Saturday, September 12, 2009

mengapa manusia bermasalah~~

Genetik

Genetik adalah sains kebakaan iaitu satu pengkajian tentang keturunan, ataupun sains yang berkaitan dengan mekanisma pewarisan. Ia juga satu bidang yang berkaitan dengan pemindahan maklumat biologi dan penggunaan maklumat tersebut dalam perkembangan dan fungsi organisma. Kebakaan atau pewarisan ialah satu fenomena perpindahan ciri-ciri induk kepada keturunan mereka dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Sains pewarisan menerangkan tentang persamaan dan perbezaan di antara induk dan anak-anaknya. Ia juga berkaitan tentang perpindahan gen daripada induk ke anak-anaknya (progeninya).

Apa yang ingin dibincangkan ialah perkaitan antara mengapakah manusia bermasalah dengan pengaruh genetik kepadanya. Faktor genetik merupakan faktor yang saling berkait rapat dengan tingkahlaku bermasalah seseorang. Contoh yang jelas ialah dari segi pemakanan, baka, dan sebagainya.

Dari segi pemakanan, contoh yang jelas ialah ketika ibu mengandung. Jika ketika mengandung ibunya mengambil makanan yang tidak sihat dan berbahaya seperti pengambilan alcohol, ketagihan rokok, pengambilan dadah dan pelbagai lagi ini akan mendorong kepada kecacatan kepada bayi yang akan dilahirkan. Seterusnya jika bayi itu cacat dan tidak sempurna, masalah pengabaikan akan berlaku. Ini akan tercetusnya isu anak terbiar yang membawa kepada masalah social. Gentik dari pemakanan ibu ketika mengandung akan melahirkan seorang bayi yang bermasalah serta mengalami pelbagai masalah kecacatan yang lain. Ini jelas menunjukan bahawa genetik benar-benar mempengaruhi seseorang bermasalah.


Seterusnya pula ialah minat terhadap faktor baka sebagai satu faktor yang mempengaruhi personaliti telah tertumpu kepada trait. Khususnya trait yang manakah yang diwarisi dan trait yang mana pula yang mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Faktor-faktor genetik menghasilkan pembawaan atau potensi untuk perkembangan dan bukan menghasilkan trait-trait badan dan tingkahlaku secara langsung. Dipercayai bahawa baka meletakkan had-had yang tidak dapat dilintasi untuk perkembangan seterusnya walaupun persekitaran yang diberi sangat baik. Kita tidak mengetahui dan tidak ada cara untukmengetahui apakah had-had tersebut. Sebagai contoh , ujian kecerdasan tidak dapat mengesan potensi yang diwarisi. Ujian itu hanya menunjukkan taraf perkembangan potensi tersebut pada masa ujian diambil. Peranan baka di dalam aspek-aspek perkembangan adalah berbeza-beza. Pengaruh baka adalah lebih bagi ciri-ciri fizikal dibandingkan dengan intelek. Begitu juga personaliti sosial tidak begitu terhad oleh baka dan sangat dipengaruhi oleh persekitaran. Contohnya jika dilahirkan dari keluarga pencuri, peratus untuk anak menjadi seperti mereka amat tinggi. Ini dikatakan sebagai pengaruh baka yang dikaitkan dengan sikap dan tingkahlaku.

Contoh lain genetik mempengaruhi manusia bermasalah ialah berpenyakit. Penyakit juga merupakan satu masalah kepada manusia. Jika dilahirkan dari keturunan yang mempunyai penyakit kanser, peratus yang tinggi anak akan turut mengalami penyakit yang sama. Apabila ini berlaku, akan memberikan tekanan hidup kepada anak. Seterusnya kerana tertekan dan pemikiran yang sempit, pelbagai masalah boleh berlaku. Ini jelas memberikan contoh mengapa dikaitkan genetic dengan permasalahan seseorang.

Kesimpulannya, genetik benar mempengaruhi mengapa seseorang itu bermasalah sama ada sedar mahupun tidak. Oleh itu, kita sebagai manusia haruslah bijak dan berfikiran positif agar tidak tergolong dalam manusia yang bermasalah kepada diri sendiri mahupun masyarakat. Pelbagai pendekatan dapat digunakan untuk mengelakkan masalah ini berlaku.

Tuesday, September 8, 2009

statistik penderaan kanak-kanak 2002-2006

Statistik Penderaan Kanak-kanak

Berdasarkan kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun. Bagi tempoh Januari hingga April 2009, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan merekodkan sebanyak 819 kes penderaan kanak-kanak di seluruh Negara. Daripada perangkaan itu, 549 kes melibatkan kanak-kanak perempuan sementara bakinya 270 kes pula kanak-kanak lelaki. Negeri yang paling banyak mencatat kes penderaan pula ialah negeri Selangor dengan 320 kes, didikuti Perak dengan 91 kes, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 79 kes.

Selain itu, statistik perbandingan pada tahun 2008 dan 2007 turut menunjukkan Selangor sebagai negeri yang paling banyak mempunyai kes penderaan kanak-kanak. Jumlah kes yang dicatat di Selangor untuk 2008 ialah 949 kes berbanding 816 kes pada 2007. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada di tangga kedua dengan 595 kes pada 2008 dan 444 kes pada 2007. Keadaan ini menunjukkan bilangan kes penderaan kanak-kanak di sekitar Lembah Klang sentiasa meningkat. Peningkatan ini berlaku ekoran daripada tekanan hidup yang tinggi dan tambahan jumlah penduduknya besar. Secara keseluruhannya di seluruh negara merekodkan sebanyak 2,780 kes penderaan pada 2008 berbanding 2,279 kes pada 2007.

Di sebalik peningkatan kes, JKM percaya masih banyak kes penderaan kanak-kanak yang tidak dilaporkan. Semua statistik ini ialah kes-kes yang dilaporkan tetapi saya percaya kes yang dilapor ini hanya mewakili dua peratus daripada kes yang berlaku di luar sana. Masih ada 98 peratus kes yang tidak dilaporkan. Dari segi kaum, beliau menyatakan bahawa sebahagian besar kes penderaan yang dilaporkan kepada JKM berlaku dalam kalangan kaum Melayu. Bentuk penderaan yang lazim berlaku pula ialah deraan fizikal, seksual dan emosi. Bagi tempoh Januari hingga April 2009, kes penderaan fizikal yang direkod ialah 523, seksual 230 kes (kebanyakannya melibatkan kanak-kanak perempuan) sementara emosi, 16 kes. Sehubungan dengan itu, masyarakat negara ini perlu meningkatkan peranan mereka kerana kebajikan kanak-kanak adalah tanggung jawab bersama.

Tingkahlaku nonverbal


Tingkahlaku nonverbal bermaksud segala tingkah laku yang berasaskan kepada pergerakan badan termasuklah konteks mata , gaya bahasa badan dan kualiti. Kesemua komponen tersebut adalah penting kerana ia akan menimbulkan perasaan selesa di antara kaunselor dan klien.Tingkah laku nonverbal dapat juga dilihat melalui memek muka, gaya duduk dan seumpamanya.Ia amat berguna kerana dapat membantu kaunselor untuk lebih memahami klien dan seterusnya membantu klien yang mengalami masalah.

Terdapat beberapa cara bersesuaian yang boleh digunakan ketika sesi kaunseling dijalankan.Kaunselor perlu mempelajari beberapa skil agar sesi yang dijalankan lebih baik dan bermanfaat kepada klien. Skil pemerhatian memerlukan seseorang kaunselor memerhati diri sendiri dan klien dalam sesi. Antaranya perkara yang perlu diberi perhatian ialah ialah tingkahlaku nonverbal,ekspresi muka dan bahasa badan.

Terdapat banyak kajian dijalankan tentang komunikasi bukan lisan dan kesannya
terhadap proses dan keberkesanan komunikasi. Tanpa berkata apa-apa, seseorang
itu boleh berkomunikasi menerusi reaksi yang dipaparkan pada orang lain. Isyarat bukanlisan pada hakikatnya berlaku tanpa disengajakan. Dari reaksi seseorang dapat dilihat bahawa kebanyakan tindakan dan perasaan seseorang digambarkan pada perlakuan
ketika berkomunikasi. Kajian berhubung komunikasi bukan lisan membuktikan bahawa
65% dari makna interaksi sesama insan datangnya daripada komunikasi bukan lisan.

Definisi komunikasi bukan lisan dikemukakan oleh Wood (2001), Gamble & Gamble(2002), Trenholm & Jensen (1998) dan ramai lagi. Secara umumnya, kesemua bentuk komunikasi yang bertujuan menyampaikan mesej atau maklumbalas tanpa perkataan merupakan komunikasi tanpa lisan. Suara yang sebak bunyinya, nada suara, muka masam, senyuman sinis, cara berpakaian, barang hiasan diri, cara duduk, berdiri isyarat tangan dan jarak seseorang ketika bercakap dengan seseorang yang lain mengukuhkan mesej dalam komunikasi. Komunikasi tanpa lisan menerusi perlakuan, atribut dan objek selain dari perkataan memberikan makna sosial (Seiler & Beall, 2002). Secara ringkasnya, kesemua tindakan menunjukkan mesej yang cuba disampaikan tersebut melalui komunikasi bukan lisan (non-verbal communication)



1. Kinesics
Pergerakan badan dan apa yang dilihat pada wajah menggambarkan seribu makna.
Reaksi yang ditunjukkan memberitahu orang lain pelbagai perkara tentang seseorang.
Ini termasuklah perasaan, emosi dan tujuan seseorang melakukannya. Gerak mata juga merupakan isyarat komunikasi tanpa lisan. Pergerakan dan juga pandangan mata keseorang mempunyai makna-makna tertentu yang mampu ditafsirkan oleh individu-individu yang melihatnya.

2. Penampilan Fizikal
Penampilan fizikal boleh membentuk tanggapan pertama terhadap seseorang individu
yang baru dikenali. Contohnya ketinggian, berat badan, warna kulit dan bentuk badan,
jantina, saiz, warna mata, rambut dan bentuk muka. Seringkali kita membentuk stereotaip terhadap ciri-ciri fizikal. Pada masa yang sama, pemikiran yang stereotaip ini juga seringkali dibentuk oleh budaya dan juga media. Masyarakat cenderung mengambil kira faktor fizikal sebagai faktor utama penampilan diri di samping menilai orang lain. Rupa bentuk fizikal berkait rapat dengan budaya kerana setiap budaya. Setiap budaya membuat inferens yang berbeza terhadap rupa bentuk fizikal. Rupa bentuk yang ideal juga berbeza mengikut budaya.

3. Artifak (Objek)
Artifak boleh menyatakan identiti seseorang sama ada berbentuk gender, stail, situasi
tertentu, keagamaan, semangat patriotik, profesional, personaliti , status dan minat
seseorang. Untuk menggambarkan identiti, seseorang menunjukkannya dari cara berpakaian. Cara kita berpakaian untuk sesuatu majlis dengan sendirinya akan menentukan keseragaman di antara kita dengan khalayak.

4. Haptics (Sentuhan)
Sentuhan merupakan komunikasi bukan lisan yang menyampaikan makna dalam
perhubungan. Walaupun ia merupakan bentuk komunikasi bukan lisan yang dikatakan
primitif, ianya memberikan maksud tertentu. Setiap orang mempunyai tanggapan yang berlainan terhadap sentuhan. Reaksi seseorang juga berbeza apabila disentuh. Sentuhan yang dianggap biasa bagi seseorang mungkin dianggap biadap atau bermotif seksual bagi seseorang yang lain. Sentuhan yang dianggap biasa sekiranya dilakukan dengan ketiadaan orang lain dianggap memalukan apabila dilakukan di khalayak ramai. Dengan kata lain, tanggapan terhadap sentuhan mungkin positif atau negatif.
Sentuhan yang dimaksudkan dalam komunikasi tanpa lisan ialah sentuhan menggunakan
tangan, lengan atau lain-lain bahagian badan terhadap seseorang yang lain. Sentuhan
yang dimaksudkan di sini mungkin berbentuk cubitan, cuitan, genggaman dan pelukan.
Sentuhan itu juga menggambarkan kekuatan, empati atau memahami situasi tertentu.
Namun, setiap orang mempunyai perlakuan menyentuh yang berbeza. Pengkaji komunikasi bukan lisan mengidentifikasi beberapa tujuan sentuhan.

5. Chronemics
Sikap dan keutamaan yang kita berikan kepada jalinan komunikasi dengan individu yang
lain akan ditentukan dengan cara kita menggunakan masa. Ia melibatkan aktiviti yang
seharusnya dilakukan pada masa tertentu. Sama ada seseorang menepati masa juga
mempengaruhi tanggapan seseorang terhadap anda. Penggunaan masa dipengaruhi oleh budaya. Sebagai contoh, jika mengikut “masa Malaysia”, kelewatan sehingga 30 minit mungkin masih tidak akan menimbulkan salah faham namun, jika di Barat, beberapa tafsiran negatif akan dibuat seperti tidak boleh dipercayai atau tidak boleh diharap kerana tidak menepati masa. Sebaiknya anda meminta maaf dan menerangkan mengapa lewat sampai supaya tidak dianggap kurang sopan dalam budaya orang Amerika umpamanya. Kesesuaian masa juga satu faktor yang penting dalam tanggapan yang mempengaruhi komunikasi tanpa lisan.

6. Paralanguage
Paralanguage merupakan komunikasi vokal dan cara anda menuturkan sesuatu perkataan. Ia digunakan bersama-sama pertuturan dengan tujuan mengukuhkan apa yang dipertuturkan. Ciri-ciri paralanguage melibatkan nada suara, kelajuan, ”volume”
dan kualiti. Ini termasuklah bunyi keluhan, ketawa, mengerang, “pause” atau ritma bunyi. Persepsi berkait rapat dengan paralanguage kerana ia melibatkan tanggapan terhadap seseorang sama ada fizikal, personaliti atau penilaian. Suara seseorang berupaya memberitahu orang lain bagaimana menginterpretasi mesej yang ingin disampaikan. Kiu vokal digunakan untuk menyatakan perasaan: bisikan umpamanya menghurai hubungan intim antara dua insan; manakala intonasi yang tinggi menandakan kemarahan. Suara juga mempengaruhi tanggapan seseorang dan kerana itu kiu vocal dikawal untuk mengukuhkan imej. Setiap orang pada lazimnya tahu mengawal suara untuk menyatakan perasaan gembira, sedih, atau marah.

7. Proxemics (Ruang Personal)
Penggunaan ruang memainkan peranan dalam keberkesanan komunikasi. Jarak dan ruang personal dalam komunikasi tanpa lisan terdapat dalam bentuk peribadi atau fizikal sama ada dilihat dari aspek kemesraan, peribadi, jarak sosial dan jarak rasmi mencerminkan tahap hubungan antara seseorang dengan seseorang yang lain. Pada kebiasaannya, setiap individu berusaha mengenal pasti dan memelihara ruang yang dianggap hak miliknya. Oleh itu kita semestinya perlu menghormati ruang orang lain agar tidak menimbulkan pergeseran. Sebarang pergeseran yang berlaku sama ada kecil atau besar akan mengganggu jalinan komunikasi.

8. Senyap
Kadangkala seseorang akan “menyepi diri” atau “diam seribu bahasa”. Isyarat senyap
merupakan komunikasi tanpa lisan. Bertindak senyap kadang kala lebih memberi makna
dari pengucapan biasa. Pasangan yang memahami antara satu sama lain tidak memerlukan kata-kata untuk menyatakan perasaan. Seseorang yang terlalu marah akan menyepi diri dan mungkin menyakitkan hati orang yang melihatnya kerana tidak jelas maksudnya. Apa yang nyata, komunikasi tidak dapat dijalin dengan berkesan sekiranya ini berlaku.