Tuesday, October 13, 2009






Orang Kurang Upaya

Malaysia merupakan sebuah Negara membangun yang sangat menitikberatkan kebajikan rakyatnya, terutama ke atas golongan orang kurang upaya. Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2007, " Orang Kurang Upaya" (OKU) boleh didefinisikan sebagai
“ Mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat ”.


Selain itu, orang kurang upaya (OKU) juga boleh didefinisikan sebagai ”Seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuh atau sebahagian daripada keperluan biasa seseorang individu dan tidak dapat hidup bermasyarakat sepenuhnya disebabkan sesuatu kekurangan semasa dari segi fizikal atau mental dan samada ia berlaku semenjak lahir atau kemudian dari itu”.
Terdapat beberapa kategori orang kurang upaya (OKU) yang didaftarkan termasuklah Kurang Upaya dari segi Pendengaran, Penglihatan, Fizikal, Cerebral Palsy, menghadapi Masalah dari segi Pembelajaran, Down' SyndromeAutisma dan sebagainya.
Golongan ini juga hendaklah mendaftarkan keahlian dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membolehkan golongan ini mendapat hak keistimewaan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Antaranya ialah bagi pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), mereka diberi elaun khas dengan kadar sebayaran sebanyak RM300 sebulan dan bayaran akan dibuat sekali dalam satu semester. Selain itu, golongan OKU turut mendapat kemudahan dari segi Pengangkutan Awam, Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan, Kemudahan Alat Ganti Orang Kurang Upaya, Kemudahan Peluang Pekerjaan di sektor Awam dan Swasta, Pengecualian Bayaran Dokumen Perjalanan, Kemudahan Membeli Kereta Dan Motorsikal Nasional, Pencen Terbitan dan lain-lain lagi.
Mengikut Dasar Kebajikan Masyarakat Negara, Perkhidmatan Pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) merangkumi "Kemudahan dan pengesanan awal disediakan bagi mereka (Orang Kurang Upaya) untuk menerima rawatan, pemulihan, pendidikan dan latihan. Usaha untuk mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat digalakkan agar mereka bersedia manghadapi keadaan sosial semasa."


Di samping itu, kerajaan juga menyediakan beberapa pusat perlindungan bagi golongan OKU. Antaranya ialah YOKUK ( Kelantan ), Taman Sinar Harapan (TSH),
Pusat Latihan Perinsustrian dan Pemulihan Bangi (PPLPP), Bengkel Daya, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Rumah Kelompok, Pusat Pemulihan Samarahan dan
POKUAT (Terengganu).
Sebagai kesimpulannya, kerajaan telah memperuntukan sejumlah wang yang besar dalam membela nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan memberi keselesaan yang sewajarnya dalam membolehkan golongan ini meneruskan kehidupan seharian.

Monday, October 12, 2009

A System Perspective : The Pincus Minahan Model

Di dalam model Pincus Minahan ini membahagikan konsep asas modelnya kepada dua bahagian iaitu "target system dan action system". Untuk permulaan ianya bermula daripada "presenting problems". Di sini klien akan memberitahu akan masalah yang dihadapi dan pekerja sosial akan cuba mendengarnya. Contohnya klien memberitahu masalah yang dihadapinya ialah masalah percintaan. Seterusnya ianya akan bergerak kepada "client system".Dalam masalah yang dihadapi oleh klien, sistem klien itu akan dikenalpasti oleh pekerja sosial.Dalam masalah percintaan tadi, sistem klien yang dikenalpasti ialah kawan-kawan di sekolah,guru-guru,rakan sekelas dan sebagainya.

Seterusnya untuk "change agent system",pekerja sosial akan mengenalpasti siapa yang terlibat dalam menangani masalah yang dihadapi oleh klien ini. Contohnya dalam masalah percintaan tadi, kaunselor merupakan ejen yang terlibat. Kaunselor akan bertanggungjawab memberi nsihat dan bimbingan kepada klien di sekolah.Setelah semunya selesai, maklumat yang diperoleh akan diproses dan dianalisis(assesment of data).Pekerja sosial akan mengakses maklumat melalui sistem yang ada.Contohnya pekerja sosial akan bertanya kepada kawan-kawan klien tentang apa sahaja yang berkaitan dengan masalah yang dihadapinya.Setelah itu, jangkaan-jangkaan kepada masalah itu(determination of outcome goals. Pekerja sosial akan mencari jangkaan-jangkaan yang baik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh klien.Jangkaan-jangkaan itu akan dinilai kembali untuk memastikan hanya yang terbaik dipilih(determination of targets).Seterusnya, strategi yang bakal diambil akan difikirkan untuk menyelesaikan masalah klien.Strategi yang diambil akan dinilai secara baik dan buruknya. Kesan daripada strategi akan dinilai.Akhirnya, penilaian secara keseluruhan akan diambil kira.

teori tingkahlaku kognitif

Tujuan : Untuk meningkatkan kefungsian sosial dan untuk mendorong klien belajar bagaimana berfikir secara realistik dan positif dengan menggunakan pengalaman serta ilmu pengetahuannya.


Aplikasi : Pendekatan ini memerlukan pelanggan mempunyai keperluan keupayaan intelek dan sanggup meluangkan masa untuk memantau dan menganalisa cara-cara pemikirannya serta untuk mengamalkan teknik yang direka bentuk untuk mengubah tabiat-tabiat yang telah tersedia. Teori tingkahlaku kognitif ini berguna menyelesaikan masalah yang terganggu, estim diri yang rendah dan fikiran bersalah. Ia juga digunakan kepada kanak-kanak ( 10 tahun dan ke atas), remaja, seseorang yang mengalami pertumbuhan dan dewasa.


Huraian :
Dalam teori tingkahlaku kognitif ini, kita dapat lihat bagaimana manusia berfikir dan memproses maklumat yang diterima. Fokus yang terbesar ialah berkaitan kognitif (fikiran, emosi dan tingkah laku). Apa yang dikirkan oleh seseorang amat mendorong mereka memperlihatkan melalui tingkah laku. Masalah tingkahlaku dan masalah peribadi sering berlaku dalam pemikiran yang rosak, tidak waras dan dalam kepercayaan tidak berasas serta tidak realistik dalam mencari jalan yang terbaik. Oleh itu, kita sepatutnya mempunyai pemikiran yang positif, realistik, waras dan terbuka untuk menangani apa sahaja permasalahan yang datang tanpa tidak menanggung bebanan risiko yang besar untuk bermasalah dan terganggu.


Contoh aplikasi :

Seorang remaja berusia 17 tahun yang masih di bangku sekolah mengalami masalah keluarga yang berpisah. Oleh kerana masalah berpunca dari keretakan rumahtangga ibu bapa, remaja tersebut sering keluar rumah untuk bersama-sama rakan nya sehingga lewat malam. Fikirannya telah terganggu disebabkan pergaduhan oleh ibubapanya. Remaja tersebut berpendapat ibubapanya tidak wajar berpisah dan mereka merupakan punca dirinya tidak terurus dan tidak memiliki keluarga yang sempurna. Oleh kerana pemikiran negatif dan tidak terbuka ini, kesannya adalah kepada tingkahlakunya yang mendorong untuk keluar sehingga lewat malam tanpa mempedulikan lagi kehidupannya di rumah. Emosi yang kurang stabil ini membentuk tingkah laku yang negatif dan buruk.

Monday, September 28, 2009

cabaran masa kini dan hadapan kebajikan sosial~~

Kebajikan sosial ialah bagaimana bantuan dihulurkan dari segi kewangan, fizikal, emosi dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan untuk meningkatkan lagi tahap kefungsian sosialnya untuk menjalani hidup yang lebih baik. Mengikut Midgley (1997) mendefinisikan kebajikan sebagai satu sistem teratur yang mempunyai pelbagai perkhidmatan sosial yang tujuannya untuk membantu masyarakat meningkatkan kualiti hidup yang lebih sejahtera. Menurut Zastrow pula, kebajikan ialah usaha untuk mengubah dan meningkatkan keadaan sejahtera baik dari segi fizikal, mental dan sosial.

Kebajikan sosial perlulah diambil serius oleh masyarakat sama ada di negara mundur, sedang membangun dan negara maju sekalipun. Di negara mundur contohnya, golongan-golongan yang memerlukan bantuan, miskin, kebuluran, diserang penyakit, ketiadaan tempat tinggal dan kehidupan yang tidak terurus haruslah mendapat bantuan dari keprihatinan kebajikan sosial ini. Ini adalah untuk bersama-sama menangani masalah-masalah yang membelenggu yang membuatkan penderitaan kepada mereka.negara yang sedang membangun pula haruslah sentiasa menjadi prihatin dan mendekatkan diri dengan masyarakat yang memerlukan bantuan ini. Kebajikan pada masa kini contohnya di Malaysia agak mendapat sambutan yang mengalakkan. Terdapat pelbagai institusi dan medium yang menawarkan kebajikan sosial kepada golongan yang memerlukan seperti anak yatim, orang kurang upaya (OKU), golongan bekas banduan dan sebagainya. Untuk negara yang maju pula, kebajikan sosial sedikit tercicir kerana wujudnya zaman yang lebih canggih dan bersaing hebat. Ini sedikit sebanyak menimbulkan sikap persaingan dan berdikari yang membuatkan kebajikan sosial terlepas pandang. Namun demikian, masih terdapat bantuan-bantuan yang disalurkan oleh negara maju untuk membantu mana-mana golongan yang memerlukannya.

Jika dibandingkan dengan kebajikan sosial dahulu,tidak terdapat banyak institusi yang ditubuhkan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan seperti anak yatim, mangsa rogol, rumah perlindungan dan sebagainya kerana mereka masih belum terdedah dan sukar mencari sumber. Namun kini jelas kebajikan sosial mendapat sambutan yang memberangsangkan kerana masyarakat telah sedar bahawa perlunya menwujudkan sikap saling bantu-membantu dan budaya penyayang agar kefungsian sosial dapat ditingkatkan semasa ke semasa. Banyak agensi-agensi telah menawarkan bantuan dan bekerjasama memberi sumber untuk membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik ini.

Saturday, September 12, 2009

mengapa manusia bermasalah~~

Genetik

Genetik adalah sains kebakaan iaitu satu pengkajian tentang keturunan, ataupun sains yang berkaitan dengan mekanisma pewarisan. Ia juga satu bidang yang berkaitan dengan pemindahan maklumat biologi dan penggunaan maklumat tersebut dalam perkembangan dan fungsi organisma. Kebakaan atau pewarisan ialah satu fenomena perpindahan ciri-ciri induk kepada keturunan mereka dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Sains pewarisan menerangkan tentang persamaan dan perbezaan di antara induk dan anak-anaknya. Ia juga berkaitan tentang perpindahan gen daripada induk ke anak-anaknya (progeninya).

Apa yang ingin dibincangkan ialah perkaitan antara mengapakah manusia bermasalah dengan pengaruh genetik kepadanya. Faktor genetik merupakan faktor yang saling berkait rapat dengan tingkahlaku bermasalah seseorang. Contoh yang jelas ialah dari segi pemakanan, baka, dan sebagainya.

Dari segi pemakanan, contoh yang jelas ialah ketika ibu mengandung. Jika ketika mengandung ibunya mengambil makanan yang tidak sihat dan berbahaya seperti pengambilan alcohol, ketagihan rokok, pengambilan dadah dan pelbagai lagi ini akan mendorong kepada kecacatan kepada bayi yang akan dilahirkan. Seterusnya jika bayi itu cacat dan tidak sempurna, masalah pengabaikan akan berlaku. Ini akan tercetusnya isu anak terbiar yang membawa kepada masalah social. Gentik dari pemakanan ibu ketika mengandung akan melahirkan seorang bayi yang bermasalah serta mengalami pelbagai masalah kecacatan yang lain. Ini jelas menunjukan bahawa genetik benar-benar mempengaruhi seseorang bermasalah.


Seterusnya pula ialah minat terhadap faktor baka sebagai satu faktor yang mempengaruhi personaliti telah tertumpu kepada trait. Khususnya trait yang manakah yang diwarisi dan trait yang mana pula yang mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Faktor-faktor genetik menghasilkan pembawaan atau potensi untuk perkembangan dan bukan menghasilkan trait-trait badan dan tingkahlaku secara langsung. Dipercayai bahawa baka meletakkan had-had yang tidak dapat dilintasi untuk perkembangan seterusnya walaupun persekitaran yang diberi sangat baik. Kita tidak mengetahui dan tidak ada cara untukmengetahui apakah had-had tersebut. Sebagai contoh , ujian kecerdasan tidak dapat mengesan potensi yang diwarisi. Ujian itu hanya menunjukkan taraf perkembangan potensi tersebut pada masa ujian diambil. Peranan baka di dalam aspek-aspek perkembangan adalah berbeza-beza. Pengaruh baka adalah lebih bagi ciri-ciri fizikal dibandingkan dengan intelek. Begitu juga personaliti sosial tidak begitu terhad oleh baka dan sangat dipengaruhi oleh persekitaran. Contohnya jika dilahirkan dari keluarga pencuri, peratus untuk anak menjadi seperti mereka amat tinggi. Ini dikatakan sebagai pengaruh baka yang dikaitkan dengan sikap dan tingkahlaku.

Contoh lain genetik mempengaruhi manusia bermasalah ialah berpenyakit. Penyakit juga merupakan satu masalah kepada manusia. Jika dilahirkan dari keturunan yang mempunyai penyakit kanser, peratus yang tinggi anak akan turut mengalami penyakit yang sama. Apabila ini berlaku, akan memberikan tekanan hidup kepada anak. Seterusnya kerana tertekan dan pemikiran yang sempit, pelbagai masalah boleh berlaku. Ini jelas memberikan contoh mengapa dikaitkan genetic dengan permasalahan seseorang.

Kesimpulannya, genetik benar mempengaruhi mengapa seseorang itu bermasalah sama ada sedar mahupun tidak. Oleh itu, kita sebagai manusia haruslah bijak dan berfikiran positif agar tidak tergolong dalam manusia yang bermasalah kepada diri sendiri mahupun masyarakat. Pelbagai pendekatan dapat digunakan untuk mengelakkan masalah ini berlaku.